ADA SOALAN?

SSPN-i

1. Apakah SSPN-i?

SSPN-i merupakan satu instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi. SSPN-i adalah berlandaskan syariah menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ bermaksud ‘mewakilkan untuk tujuan pelaburan.

2. Apakah objektif SSPN-i?

Objektif SSPN-i adalah untuk membudayakan tabiat menabung di kalangan warganegara Malaysia bagi tujuan pendidikan tinggi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

3. Apakah keistimewaan SSPN-i?

SSPN-i menawarkan pelbagai keistimewaan, antaranya:
Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa hingga RM8,000.00 setahun bagi akaun yang dibuka atas nama anak / anak angkat yang sah sebagai penerima manfaat;

Perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000.00 dan ke atas;

Kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;

Pemberian geran sepadan kerana memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) sehingga RM10,000.00 untuk satu keluarga yang layak bagi akaun yang dibuka atas nama anak sebagai penerima manfaat;

Simpanan dijamin oleh kerajaan;

Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN;

4. Adakah akaun SSPN-i boleh dibuka oleh seseorang yang masih bujang atau ibubapa yang tiada tanggungan anak di IPT?

Boleh. Akaun SSPN-i boleh dibuka oleh sesiapa sahaja yang berwarganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas bagi memupuk sikap penabungan di kalangan rakyat Malaysia.

5. Apakah syarat-syarat penyertaan SSPN-i?

Syarat-syarat penyertaan SSPN-i adalah seperti berikut:

Ibu / bapa / penjaga / individu yang ingin menjadi pendeposit dan / atau penerima manfaat kepada akaun SSPN-i mestilah warganegara Malaysia.

Bagi pembukaan akaun untuk anak angkat di bawah jagaan yang sah, surat akuan berkanun atau sijil anak angkat hendaklah disertakan bagi menikmati keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan dan geran sepadan ke institusi pendidikan tinggi (jika layak).

Pendeposit boleh juga membuka akaun untuk diri sendiri.

Setiap pendeposit hanya boleh membuka satu akaun untuk penerima manfaat yang sama.

Penerima manfaat mestilah berumur antara 1 hari hingga sebelum mencapai umur 29 tahun.

Penerima manfaat yang telah mempunyai akaun yang dibuka oleh seseorang pendeposit boleh membuka akaun bagi dirinya sendiri atau membuka akaun untuk warganegara Malaysia yang lain. Ini bermakna, seorang penerima manfaat pada masa yang sama juga boleh menjadi pendeposit.

Pendeposit yang berbeza boleh membuka akaun SSPN-i bagi penerima manfaat yang sama dan tiada had bilangan akaun bagi setiap penerima manfaat.

6. Bagaimanakah caranya untuk membuka akaun SSPN-i?

Akaun SSPN-i boleh dibuka secara online dengan melayari laman web PTPTN (www.ptptn.gov.my), di kaunter cawangan PTPTN atau melalui ejen-ejen sah yang telah dilantik.

7. Apakah dokumen yang mengesahkan pembukaan akaun SSPN-i?

SSPN-i tidak menggunakan buku akaun. Walau bagaimanapun PTPTN akan menghantar Slip Akuan Pembukaan Akaun SSPN-i kepada pendeposit ke alamat yang didaftarkan sebagai bukti pengesahan pembukaan akaun SSPN-i.

8. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan nombor akaun SSPN-i sekiranya slip akuan telah hilang?

Pendeposit boleh menghubungi Khidmat Pelanggan PTPTN di talian 03-2193 3000 atau mengunjungi cawangan PTPTN yang berdekatan untuk mendapatkan nombor akaun SSPN-i. Pendeposit juga boleh memohon untuk cetakan semula slip akuan bagi memudahkan urusan.

9. Adakah pendeposit dan penerima manfaat mesti terdiri daripada ahli keluarga terdekat?

Tidak, pendeposit boleh membuka akaun dan menamakan mana-mana warganegara Malaysia yang lain sebagai penerima manfaat.

10. Bagaimanakah cara untuk membuat simpanan secara potongan gaji atau menamatkan potongan gaji?

Pendeposit perlu mengisi dan melengkapkan Borang Kebenaran/ Penamatan Potongan Gaji Bulanan SSPN-i yang boleh didapati di kaunter PTPTN atau mencetak borang tersebut melalui portal rasmi PTPTN. Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar kepada majikan dan sesalinan kepada PTPTN.

11. Bagaimanakah cara untuk menyemak penyata akaun SSPN-i?

Penyata Akaun SSPN-i boleh disemak dan dicetak melalui portal rasmi PTPTN. Semakan juga boleh dilakukan dengan menghubungi Khidmat Pelanggan PTPTN di talian 03-2193 3000, hadir sendiri ke cawangan PTPTN yang berdekatan atau di cawangan Maybank, RHB Bank dan Bank Rakyat.

12. Bilakah simpanan SSPN-i boleh dikeluarkan?

Simpanan SSPN-i boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh PTPTN dari semasa ke semasa.

13. Bagaimanakah cara untuk mengeluarkan simpanan SSPN-i?

Simpanan SSPN-i boleh dikeluarkan dengan cara berikut:

Mengisi dan melengkapkan Borang Pengeluaran / Penutupan Akaun / Tuntutan Geran Sepadan dan mengemukakannya kepada PTPTN melalui serahan tangan atau pos. Borang tersebut boleh didapati di kaunter PTPTN; atau

Pengeluaran melalui ATM di bank yang terpilih.

14. Adakah sebarang caj dikenakan jika mengeluarkan simpanan SSPN-i?

Tiada caj yang dikenakan oleh PTPTN kecuali caj yang dikenakan oleh ejen, sekiranya ada.

15. Berapa lamakah proses pengeluaran deposit / penutupan akaun jika permohonan dibuat di kaunter PTPTN?

Proses permohonan pengeluaran deposit / penutupan akaun mengambil masa tidak lebih 14 hari bekerja selepas penerimaan dokumen permohonan yang lengkap.

16. Bolehkah simpanan SSPN-i digunakan untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN?

Boleh, pendeposit perlu membuat permohonan untuk bayaran balik pinjaman PTPTN melalui pindahan antara akaun dengan mengisi Borang Pindahan Deposit / Lebihan Bayaran Balik Pinjaman yang boleh didapati di cawangan PTPTN dan portal rasmi PTPTN.

17. Adakah simpanan SSPN-i dipotong secara automatik sekiranya peminjam tidak membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN mengikut tempoh yang telah ditetapkan?

Tidak. SSPN-i dan Skim Pinjaman Pendidikan adalah skim yang berbeza walaupun kedua-duanya di bawah PTPTN.

18. Adakah simpanan SSPN-i boleh dipindahkan ke akaun SSPN yang lain?

Boleh. pendeposit perlu mengisi Borang Pindahan Deposit/ Lebihan Bayaran Balik Pinjaman yang boleh didapati di cawangan PTPTN dan portal rasmi PTPTN. Pindahan boleh dilakukan berdasarkan situasi berikut:

Pindahan simpanan daripada akaun SSPN-i ke akaun SSPN-i atas pendeposit yang sama.

Pindahan simpanan daripada akaun SSPN-i Plus ke akaun SSPN-i atas pendeposit yang sama.

Pindahan simpanan daripada akaun SSPN-i ke akaun SSPN-i Plus atas pendeposit yang sama.

Pindahan lebihan bayaran balik pinjaman ke akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus atas peminjam / pendeposit yang sama.

Pindahan simpanan SSPN-i untuk bayaran balik pinjaman atas peminjam / pendeposit yang sama.

19. Adakah akaun SSPN-i perlu ditutup jika penerima manfaat telah mencapai umur 29 tahun?

Ya, pendeposit perlu membuat penutupan akaun atas nama penerima manfaat tersebut. Pendeposit mempunyai pilihan sama ada untuk menerima wang simpanan semasa membuat penutupan atau membuat pindahan wang simpanan ke akaun penerima manfaat yang lain.

20. Adakah sebarang manfaat diberikan kepada pendeposit yang mengalami kemalangan jalan raya dan lumpuh seluruh badan?

Ada. SSPN-i menyediakan perlindungan takaful secara percuma kepada pendeposit yang mempunyai baki simpanan RM1,000 dan ke atas serta berumur tidak melebihi 65 tahun. Perlindungan takaful ini merangkumi kematian pendeposit dan penerima manfaat serta keilatan kekal menyeluruh pendeposit. Sekiranya pendeposit mengalami keilatan kekal menyeluruh dan telah disahkan oleh pegawai perubatan, waris boleh membuat tuntutan takaful dengan mengisi Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh didapati di cawangan PTPTN atau di portal rasmi PTPTN dan menyertakan dokumen sokongan seperti yang dinyatakan pada borang tersebut. Dokumen yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

21. Apakah dokumen yang perlu diisi sekiranya waris pendeposit ingin membuat tuntutan takaful kerana pendeposit telah meninggal dunia?

Syarat tuntutan takaful bagi pendeposit yang telah meninggal dunia adalah baki simpanan mestilah RM1,000 dan ke atas dan berumur tidak melebihi 65 tahun pada tarikh kematian. Waris hendaklah mengisi Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh didapati di cawangan PTPTN atau di portal rasmi PTPTN dan menyertakan dokumen sokongan seperti yang dinyatakan pada borang tersebut. Dokumen yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

22. Bagaimanakah proses penutupan akaun SSPN-i bagi pendeposit yang meninggal dunia?

Bagi pendeposit yang telah meninggal dunia, waris hendaklah melengkapkan dokumen berikut berdasarkan jumlah simpanan SSPN-i semasa kematian:

Kurang daripada RM3,000

Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan

Salinan Mykad pendeposit

Salinan Mykad pendeposit

Salinan sijil kematian pendeposit

Borang Pengesahan Waris

Borang Bon Tanggung Rugi dan dimatikan Setem Hasil bernilai RM10

Salinan muka hadapan buku bank/ penyata akaun waris (akaun persendirian sahaja).

Jumlah RM3,000 dan ke atas

Borang Pengeluaran/ Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan

Salinan Mykad pendeposit

Salinan MyKad waris

Salinan sijil kematian pendeposit

Surat Kuasa Mentadbir/ Geran Probet/ Surat Kuasa Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya/ Pejabat Tanah dan Daerah/ Amanah Raya Berhad/ pihak berkuasa yang diiktiraf

Salinan muka hadapan buku bank/ penyata akaun waris (akaun persendirian sahaja)

Dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada pejabat PTPTN melalui serahan tangan atau pos.

23. Siapakah yang layak mendapat insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan?

Ibu bapa dan ibu bapa angkat/ penjaga yang sah dari segi undang-undang yang menyimpan dalam akaun SSPN-i untuk manfaat anak diberi pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000.00 setahun berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa.

Kategori kelayakan adalah seperti berikut:

Taksiran Berasingan : Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 SEORANG setahun.
Taksiran Bersama : Pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga maksimum RM8,000 setahun.
Individu yang menyimpan untuk diri sendiri TIDAK LAYAK untuk mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan.

24. Bagaimanakah cara untuk mengetahui amaun layak insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan?

Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan diberikan berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa, iaitu simpanan yang telah ditolak pengeluaran. Pendeposit boleh menyemak atau mencetak penyata ringkasan akaun SSPN-i melalui e-SSPN-i di portal rasmi PTPTN.

25. Apakah yang dimaksudkan dengan insentif geran sepadan memasuki IPT?

Geran sepadan memasuki IPT adalah insentif kewangan dalam bentuk tunai yang ditawarkan untuk menarik orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah membuat tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Pemberian geran sepadan bertujuan membantu keperluan anak-anak (penerima manfaat) yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

26. Apakah syarat-syarat kelayakan geran sepadan ini?

Pemberian geran sepadan adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

Pendapatan bulanan keluarga (gaji pokok) pendeposit tidak melebihi RM4,000 semasa permohonan dibuat.

Penerima manfaat telah mendaftar masuk ke mana-mana IPT dan kursus yang diikitiraf oleh kerajaan di peringkat sijil dan ke atas.

Penerima manfaat belum mencecah umur 29 tahun semasa permohonan dibuat.

Jumlah keseluruhan geran sepadan yang akan diberikan kepada setiap pendeposit yang layak adalah tidak melebihi RM10,000 satu keluarga.

Kelayakan pemberian geran sepadan hanya kepada pendeposit (ibu/ bapa/ penjaga) yang membuka akaun untuk anaknya sendiri atau anak jagaan yang sah. Pendeposit yang membuka akaun untuk diri sendiri atau mana-mana orang lain tidak layak memohon geran sepadan ini.

27. Bagaimanakah kaedah tuntutan dan apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon geran sepadan ini?

Pendeposit hendaklah mengisi Borang Pengeluaran/Penutupan Akaun/ Tuntutan Geran Sepadan dan mengemukakan bersama dokumen berikut:

*Pengesahan pendapatan/ salinan slip gaji/ salinan penyata pencen/ salinan kad pesara yang menyatakan pencen bulanan pendeposit dan pasangan.

Salinan MyKad pasangan/ sijil kematian/ surat cerai.

Salinan sijil kelahiran/ surat akuan berkanun/ sijil anak angkat penerima manfaat.

*Salinan surat tawaran mendaftar masuk ke IPT dan resit bayaran daftar masuk ke IPT.

*Surat pengesahan aktif belajar daripada IPT/Agensi yang berkenaan dan hendaklah mencatatkan kursus pengajian (sekiranya tidak memenuhi item 4).

Sekiranya penerima manfaat mendapat tajaan pinjaman pendidikan PTPTN, dokumen 4 dan 5 tidak diperlukan.

Salinan buku bank persendirian pendeposit (jika ingin dikreditkan ke akaun)

*dokumen 1, 4 dan 5 perlu disahkan

28. Bilakah permohonan geran sepadan boleh dibuat?

Permohonan geran sepadan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tempoh pengajian penerima manfaat dengan syarat akaun SSPN-i semasa permohonan adalah aktif dan umur penerima manfaat belum mencapai 29 tahun semasa permohonan. Tuntutan geran sepadan selepas penutupan akaun tidak dibenarkan.

29. Jika tuntutan geran sepadan dibuat dalam tempoh kurang setahun dari tarikh pembukaan akaun, adakah pendeposit layak dipertimbangkan untuk pemberian geran sepadan?

Ya, pemberian token bernilai RM100 akan diberikan sebagai dorongan dan penghargaan kerana menabung di dalam SSPN-i.

en_USEnglish